Sunday, February 22, 2009

Jundub bin Janadah

Jundub bin Janadah? siapa tu?
Tak siapa yang kenal nama ini kerana mendengar namanya sudah pelik? Beliau berasal dari suku Ghifar. Suku Ghifar? Ya, suku Ghifar adalah suku perompak dan penyamun paling ganas lebih kurang 1400 tahun dahulu.Ghifar adalah satu kabilah atau suku yang sangat kuat merentas padang pasir yang luas. Orang yang tersesat dan jatuh ke dalam kaum Ghifar ini akan menjadi mangsa mereka.
Pada suatu hari Jundub bin Janadah telah mendengar mengenai Agama Islam. Beliau pun bertolak seorang diri daripada perkampungan Ghifar ke Mekah untuk berjumpa Rasulullah. Beliau pergi ke Mekah, berjumpa Rasullullah dan memeluk Islam. Beliau adalah orang yang ke lima atau keenam memeluk Islam dan termasuk golongan Al-Sabiqun Al-Awwalun iaitu golongan yang mula-mula memeluk Islam.
Bertemu dengan Abu Zar, Nabi bersabda " Sungguh Allah telah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya".
Pada masa itu Nabi Muhamad menyebarkan Islam secara rahsia dan berbisik-bisik kerana ancaman dari kaum Quraish. Jundub bin Janadah tidak suka cara ini kerana beliau adalah seorang yang suka berterus terang dan mempunyai jiwa revolusi. Pernah satu hari beliau mengucapkan kalimah syahadah dengan kuat di dalam Masjidil Haram di depan kaum Quraish. Akibatnya beliau dibelasah dengan teruk oleh kaum Quraish. Akhirnya berita ini diketahui oleh bapa saudara Nabi iaitu Abbas bin Abdul Mutalib. Bapa saudara Nabi dengan halus berkata" Wahai kaum Quraish, kamu semua adalah pedagang yang mahu tidak mahu terpaksa melalui perkampungan Ghifar. Orang yang kamu pukul ini adalah salah seorang daripada mereka. Tidakkah kamu takut rombongan dagangan kamu dirompak oleh mereka." Kata-kata itu telah melahirkan rasa gerun kaum Quraish terhadap Jundub bin Janadah atau lebih dikenali sebagai Abu Zar Al-Ghifari Radiyallahuanhu.
Banyak kali juga Abu Zar dibelasah kerana menyebarkan Islam secara terang-terangan di Mekah. Nabi mengetahui watak dan jiwa murid barunya ini yang mempunyai keberanian yang menakjubkan dalam menentang kebatilan, cuma masanya belum tiba. Akhir Nabi menasihati Abu Zar supaya pulang ke kampungnya sehingga dia mendengar Islam telah lahir secara terang-terangan. Pada masa itu beliau boleh turut serta dalam perjuangan mengembangkan Islam.
Abu Zar kembali kepada kaumnya dan membimbing seluruh kaumnya untuk memeluk Islam dan berakhlak mulia. Bukan sahaja seluruh kaum Ghifar memeluk Islam bahkan kaum Aslam yang berjiran juga memeluk Islam. Kumpulan perompak dan penyamun terbesar ini telah berubah menjadi kumpulan yang berakhlak mulia dan pejuang kebenaran.
Setelah Abu Zar mendengar Nabi telah berhijrah ke Madinah, Abu Zar membawa kaum Ghifar dan Aslam ke Madinah untuk menyertai perjuangan Nabi.
Bertemu dengan rombongan Abu Zar, Nabi bersabda " Sungguh Allah telah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya".
Nabi memandang wajah-wajah berseri kaum Ghifar dan bersabda " Suku Ghifar telah dighafar (diampunkan) oleh Allah"
Kemudian nabi memandang kaum Aslam dan bersabda " Suku Aslam telah disalam (diterima dengan damai) oleh Allah"

Allah memberi kelebihan dan pertolongan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Namun kita perlu DUIT. Iatu kita perlu Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal dalam setiap perkara yang dilakukan.

Tuesday, February 17, 2009

Kucing Ajaib

Kisah ini diceritakan oleh isteri saya sebentar tadi. Isteri saya ialah seorang bekas akauntan dan sekarang menjadi seorang guru tadika. Sebagai seorang guru tadika, tiap-tiap hari beliau pulang awal. Maklumlah bekerja hanya 3 jam sehari.
Tengahari tadi beliau mendengar seekor anak kucing mengiau dengan kuat dari belakang rumah. Seolah-olah anak kucing itu dalam bahaya. Mungkin terjatuh longkang. Selang beberapa minit ngiauan anak kucing itu semakin kuat.
Isteri saya ke belakang rumah untuk melihat anak kucing tersebut. Namun, beliau ternampak seorang pakcik sedang terbaring di hempap motornya. Pakcik ini lemah sebelah tangannya. Pakcik tersebut ialah bapa mertua seorang usahawan yang sedang meningkat naik. Gambar usahawan ini hampir setiap hari terpampang di muka depan Harian Metro. Isteri saya menghampiri pakcik tersebut dan mengangkat sedikit motor tersebut dan pakcik itu pun boleh bangun.
Kemudian isteri saya mencari-cari kucing tadi. Kucing itu memang terjatuh longkang, tetapi longkang itu hanya beberapa inci dalamnya. Ia tidak mengiau lagi. Ngiauan itu seolah-olah meminta tolong untuk pakcik tersebut. Mungkin Allah telah mengerakkan anak kucing itu meminta tolong untuk pakcik itu. Jika kucing itu tidak mengiau, mungkin pakcik itu terbaring di atas tar hingga ke petang. Kucing itu tidak mengiau meminta tolong lagi kerana ia tahu ada orang telah menolong pakcik itu. Pakcik itu adalah seorang yang alim dan saya tidak pernah nampak beliau tanpa kopiahnya. Mungkin kerana amalannya, sehingga kucing pun menolong beliau. Kucing yang ajaib atau pakcik yang ajaib? Hanya Allah yang tahu..

Dua Bulan Tidak Menulis Di Blog Ini

Sudah dua bulan tidak menulis di sini. Dalam tempoh itu banyak kejadian dan peristiwa berlaku. Antaranya tahun baru Hijrah, tahun baru Masihi, tahun baru cina, peristiwa GAZA, dan lain-lain.
Sebenarnya saya agak sibuk pada akhir tahun lepas dengan penutupan akaun. Rutin biasa setiap tahun. Selepas itu ada pula audit interim, kemudian berasap kepala pula dengan audit findings. Sekarang asapnya belum hilang lagi.He he.. Di samping itu saya agak kurang ada mood untuk menulis...
Sebenarnya sebelum saya bercuti menulis itu ada beberapa kali saya cuba posting satu catatan bertajuk " Bertemu Wali Allah" tetapi posting itu hilang tiba-tiba beberapa kali. Ia membuatkan saya berfikir, mungkin saya tidak boleh berkongsi kisah-kisah tertentu di sini. Seseorang pernah berpesan kepada saya agar tidak berkongsi semua perkara yang kita alami dengan orang lain. Kata beliau ada sesetengah perkara itu untuk kita sahaja dan tidak boleh diberitahu dengan orang lain. Entahlah..
Harap boleh menulis semula di sini dengan lebih kerap lagi.
Selamat kembali kepada diri sendiri.
Related Posts with Thumbnails