Thursday, December 17, 2009

Salam Hijrah

Setiap saat berdetik menjadi minit. Minit bertukar menjadi jam. Dari jam menjadi hari. Hari membentuk minggu. Kemudian bulan menjelma. Saat demi saat. Minit demi minit. Jam demi jam. Hari-hari kian berlalu. Kita menghampiri tahun baru. Tahun baru hijrah datang lagi.

Waktu yang sudah berlalu tidak akan datang lagi. Umpama air sungai yang mengalir. Air itu pergi dan terus pergi.

Beberapa minggu lalu saya berkeempatan mendengar kuliah daripada Tuan Guru Nik Razi Nik Mat. Seorang guru agama yang terkenal. Beliau juga adalah adik kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Pesan Tuan Guru Nik Razi, " Jika kita tidak mengambil kesempatan waktu ini untuk beribadat. Belajar dan mantapkan ilmu agama kita. Melakukan ibadat ibadat wajib. Kemudiannya menambah ibadat - ibadat sunat seperti solat Tahajud, Dhuha, membaca Al-Quran , bersedekah, puasa sunat dan lain-lain..

Jika kita tidak berbuat demikian, maka amat rugi sekali. Kerana masa itu akan berlalu begitu sahaja. Dari muda kita meningkat dewasa dan akhirnya menjadi tua dan mati. Itu jika kita mati semasa tua. Bagaimana pula bila mati ketika usia muda. "

"Ambillah kesempatan masa untuk mencari sebanyak-banyak bekal untuk dibawa ke alam akhirat."

Selamat Tahun Baru Hijrah. Semoga tahun ini membawa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya.

Wednesday, December 16, 2009

Menyukat Solat Diri



Saya menyapa seorang lelaki berumur kurang lebih 70 tahun di satu majlis. Kami berborak-borak kecil sambil menunggu majlis bermula. Setelah beberapa ketika, pakcik iti berbisik " Sekarang pakcik sakit. Sakit Hernia. Terasa panas sekali seumpama ekzos. Kalau kita pegang ekzos yang sedang panas begitulah rasanya. Panas!"

"Pakcik dah lama tak solat. Hampir 45 tahun pakcik tak solat. Bila sudah begitu lama kita tinggalkan, kita pun lupa... Pak cik belajar semula cara solat. " Lelaki itu meneruskan ceritanya.

Aku agak kehairanan kenapa lelaki ini bercerita begitu. Walau baru pertama kali bertemu sudah bercerita perkara yang bagi sesetengah orang seperti membuka aib sendiri. Lalu baru teringat rupanya aku sedang mengelek buku ini. Mungkin sebab buku ini pakcik itu senang berbicara mengenai solat.

Lalu aku cepat-cepat berkata "Semua orang melakukan dosa. Para Nabi juga melakukan dosa. Cuma Nabi Muhammmad S.A.W yang maksum iaitu terpelihara dari melakukan dosa. Kehebatan orang Islam bukanlah atas melakukan dosa, tetapi kehebatan kita ialah atas taubatnya"

"Pernah ada suatu riwayat yang menceritakan mengenai seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang dan ingin bertaubat. Lalu dia pergi bertemu dengan seorang yang alim. Lelaki itu bertanya kepada orang alim, jika beliau bertaubat adakah diterima Allah? Orang alim itu menjawab, tidak. Lalu lelaki ini membunuh si alim tadi menjadikannya 100 pembunuhan. Kemudiannya dia ingin bertaubat dan mendengar ada seorang yang alim yang lain yang tinggal di luar negeri tempat tinggalnya. Lelaki ini bergegas ke sana untuk berjumpa dengan si alim dan ingin bertaubat. Namun dalam perjalanan lelaki ini jatuh, lalu mati"

"Akhirnya lelaki ini diterima taubatnya kerana tempat dia mati itu lebih hampir satu kaki dengan negeri si alim berbanding tempat tinggalnya. Saya tidak pasti adakah ini riwayat yang sahih atau kisah Israiliyat. Namun kita boleh mengambil pengajaran darinya."

"Sesungguhnya Allah SWT menerima taubat hambanya selagi kita tidak menyekutukannya dan selagi nyawa tidak sampai ke halkum" Aku memberi motivasi panjang lebar kepada pakcik itu.

"Bila saya solat, sakit saya berkurang. Panas nya hilang. Saya rasa lega. tetapi kena selalu solat" Pakcik itu menyambung bicara.

"Allah nak tunjuk sesuatu kepada saya. Bila rumah saya dinaiki air, tempat saya solat tidak digenangi air wlaupun tempat lain ada air. Sungguh ajaib. Allah bagi tanda.." ujar pakcik itu lagi.

Hebatnya solat!

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa pakcik ini dan terus menerus memberi hidayah kepadanya. Amin.

azemiali.blogspot.com

Megah

"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu"

" sampai kamu masuk ke dalam kubur "

"sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu)"

"Kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui"

"Sekali-kali tidak! Sekiranya kamu mengetahui dengan pasti"

"Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim"

"Kemudian kamu benar-benar akan melihatnya dengan mata kepala sendiri"

"Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang megah di dunia itu)"

Ayat 1-8, Surah At-Takasur

Tuesday, December 15, 2009

Astro dan Sedekah

Teringat tazkiran Ustaz Haryanto Rizal beberapa hari lepas. Nama ustaz ini Haryanto tetapi dia bukan orang seberang, dia cuma berasal dari Selangor. Keistimewaan utama Ustaz ini ialah suara, gayanya malah doa dan kata alu-aluan saling tak tumpah seperti Ustaz Ismail Kamus. Dia juga dipanggil sebagai klon Ustaz Ismail Kamus.

Sekadar mengambil sedikit isi kuliah beliau. Kata Ustaz hampir setiap dari hadirin ada melanggan Astro. Langganan minimum Astro ialah RM38.00 sebulan. Itu langganan minimum. Sangka baik, dengan tanggapan hadirin semua langgan Astro kerana mahu menonton Oasis sahaja. Senang berselawat, senang dengar ceramah agama, senang belajar Al-Quran dan Taranum serta yang baik-baik sahaja. Bukannya melanggan untuk hiburan. Mungkin sekali-sekala tersalah saluran.

Jika kita bayar Astro RM38.00 sebulan, berapa pula kita bayar untuk sedekah jariah ? Jangan bikin malu dengar sedekah kurang dari bayar Astro...

Tuan-tuan kira sendiri, berapa sedekah tuan setiap bulan. "Amacam, ada harapan (Nak Masuk Syurga) ..?" Ustaz Haryanto bertanya sambil berseloroh.

Sedekah

" Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda ". Ayat 39, Surah Ar-Rum.

Monday, December 14, 2009

Anak Perempuan Sebagai Perisai Api Neraka

Diriwayatkan dari Aisyah ra. : seorang ibu bersama dua orang anak perempuannya menemuiku untuk meminta (sedekah), namun ia tidak menemukan apa pun padaku kecuali sebuah kurma yang kuberikan kepadanya dan ia bagi dua untuk anak-anaknya, sedangkan ia sendiri tidak memakannya, setelah itu ia pun bangun dan pergi. Kemudian Nabi Muhammad Saw menemuiku dan kuberitahu kejadian itu kepadanya. Nabi Muhammad SAW bersabda, “siapa pun yang diuji dengan anak-anak perempuannya dan ia menyenangkan mereka dengan kebajikan maka anak-anak perempuannya akan menjadi perisai mereka dari api neraka”. Hadis Sahih Al- Bukhari.

Sunday, December 13, 2009

Kaya atau Miskin?

"Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan) ; dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba -tiba mereka berputus asa".

" (Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi mereka yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu megandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasan Allah) bagi orang-orang yang beriman".

"Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya".

Surah Ar-Rum, Ayat 36 - 38.

Doa

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas". Ayat 55 - Surah Al-A'raf (Tempat Tertinggi).

Saturday, December 12, 2009

Belum Sampai Masa Lagikah..?

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka) ? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak diantaranya orang-orang yang fasik - derhaka". Ayat 16, Surah Al-Hadid (Besi)

Wednesday, December 9, 2009

Kisah Taubat Malik Bin Dinar

Ibnu Al-Jauzi meriwayatkan dalam Kitab At-Tawwabin(orang-orang yang bertaubat), daripada Malik Bin Dinar bahawa beliau ditanya mengenai sebab taubatnya, lalu beliau menjawab: “Dahulunya aku adalah seorang polis (di zamannya) dan aku pernah membeli seorang hamba wanita yang cantik. Dia amat sesuai bagiku. Lalu, dia melahirkan seorang anak untukku dan aku pun amat kasih padanya. Ketika mana dia mula berjalan, maka bertambahlah kasih sayangku buatnya dalam hatiku. Dia bermesra denganku dan aku pun bermesra dengannya. Setelah dia berumur 2 tahun, dia meninggal dunia dan kesedihannya itu pedih buatku.”
“Pada satu malam iaitu malam pertengahan bulan Syaaban, iaitu malam Jumaat. Aku terlihat di dalam mimpiku seolah-olah telah berlakunya hari kiamat. Sangkakala pun telah ditiup dan para penghuni kubur pun dibangkitkan. Lalu semua makhluk pun dihimpunkan dan aku juga bersama mereka. Maka aku pun terdengar satu pergerakan, aku memalingkan pandanganku. Tiba-tiba ianya adalah seekor ular besar berwarna hitam kebiruan. Ia telah pun membuka mulutnya dan mengejarku. Aku berlari-lari di hadapannya tergesa-gesa. Dalam perjalananku, aku berjumpa dengan seorang lelaki tua yang bersih pakaiannya serta berbau wangi. Maka aku pun memberi salam kepadanya. Dia menjawab salam kepadaku. Aku pun berkata: “Wahai lelaki tua, selamatkanlah aku dari ular ini dan semoga Allah menyelamatkanmu jua.” Lelaki itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah dan ianya (ular) pula lebih kuat dariku. Berlarilah dengan segera. Semoga Allah merupakan buatmu sesuatu yang menyelamatkanmu darinya.” Lalu, aku pantas berlalu terus ke hadapan. Lalu aku pun naik ke atas satu anjung daripada anajung-anjung hari kiamat itu. Lalu aku pun melalui di tepi beberapa tingkatan api neraka dan aku hampir-hampir terjatuh ke dalamnya disebabkan pergelutanku itu. Maka satu suara menjerit: “Berundurlah kamu! Kamu bukan daripada ahlinya.” Lalu aku berasa senang dengan kata-katanya itu dan aku pun berundur. Ular itu juga kembali mengejarku. Maka aku pun kembali semula kepada orang tua itu dan aku berkata: “Wahai orang tua! Aku sudah pun memintamu supaya menyelamatkanku dari ular itu, tapi kamu tidak melakukannya.” Lalu orang tua itu pun menangis dan berkata: “Aku ini lemah. Tetapi, kamu berlarilah kepada bukit itu. Di sana terdapat tinggalan orang-orang Islam. Jikalau kamu ada tinggalan di sana, ianya dapat membantumu.” Aku pun melihat ke arah sebuah bukit yang dikelilingi oleh perak. Padanya terdapat lubang dindingnya yang menembusi di belakangnya, terdapat dua daun pintu diperbuat dari emas merah, diselangi dengan batu delima dan diliputi oleh permata. Pada setiap daun pintu terdapat tirai dari sutera. Setelah mana aku melihat ke arah bukit itu, aku pun berlari-lari ke arahnya dan ular itu masih di belakangku.
Sehinggalah aku mendekatinya, beberapa malaikat A.S menjerit: “Angkatlah tirai, bukalah daun pintu dan perhatikanlah!, moga-moga terdapat simpanan buat orang putus asa ini dalam kalanganmu semua yang dapat menyelamatkannya dari musuhnya itu.” Setelah mana dibuka daun-daun pintu itu dan mereka memerhatikanku, aku dapati ramai kanak-kanak seumpama bulan-bulan. Ular itu pun mendekatiku dan aku tercengang. Beberapa orang dari kanak-kanak itu menjerit: “Dengarlah kamu semua! Kesemua kamu perhatikannya! Musuhnya telah pun menghampirinya.” Mereka itu pun datang memerhatikan sekumpulan demi sekumpulan. Tiba-tiba anak perempuanku memerhatikan aku, menangis dan berkata: “Demi Allah ini adalah ayahku!” Lalu dia pun melompat kepadaku dalam satu bekas diperbuat dari cahaya jalan seperti anak panah sehinggalah dia berada di sisiku. Dia pun menghulurkan tangan kirinya ke arah tangan kiriku. Maka aku pun berpaut kepadanya. Dia juga menghulurkan tangan kanannya ke arah ular itu sehinggalah ia melarikan diri. Kemudiannya, anakku itu meletakkan aku dan dia duduk dalam pangkuanku. Dia meletakkan tangan kanannya ke atas janggutku sambil berkata: Wahai ayahku!
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah?”(Surah Al-Hadid: 16).
Lalu aku pun menangis dan berkata: “Wahai anakku! Kamu semua tahu tentang Al-Quran?” Maka dia pun berkata: “Wahai ayahku! Kami semua lebih mengetahui tentangnya berbanding kamu semua.” Aku berkata: “Beritahulah kepadaku tentang si ular yang hendak membinasakanku itu.” Si anak itu menjawab: “Itulah amalan burukmu yang telah engkau menguatkannya. Ianya hendak menghumbankanmu ke dalam neraka Jahannam.” Aku bertanya: “Lelaki tua yang aku berjumpa dengannya itu?” Dia menjawab: “Itulah amalan solehmu yang engkau telah melemahkannya sehingga ianya tidak lagi mampu mengalahkan amalanmu yang buruk itu.” Maka aku pun berkata: “Wahai anakku, apakah yang kamu semua lakukan di bukit ini?” Dia menjawab: “Kanak-kanak orang Islam telah tinggal di dalamnya sehinggalah ke hari kiamat. Kami pula menantikan kamu semua datang kepada kami, maka kami dapat membantu kamu semua.” Malik bin Dinar pun berkata: “Maka aku pun terjaga dalam keadaan takut dan gementar. Maka aku pun memecahkan kesemua alat-alat yang digunakan dalam menentang Allah. Aku juga telah meninggalkan kesemua itu. Aku jua telah mengikatkan taubatku dengan Allah Taala, iaitu Taubat Nasuha. Maka Allah pun menerima taubatku itu.”

azemiali.blogspot.com

dipetik daripada razzyy.com

Tuesday, December 1, 2009

Tom Dalam kenangan



Kami mengenali Tom kurang lebih setahun yang lalu. Waktu itu seorang jiran telah berpindah dan meninggalkan Tom. Waktu itu Tom hanya seekor kucing biasa. Tiada nama. Namanya hanya diberi setelah sekian lama kami mengenalinya. Dari rumah ke rumah ia  merayau meminta makanan. Waktu itu ada beberapa rumah yang kerap dikunjunginya kerana mungkin senang mendapat makanan termasuklah rumah kami.

Waktu itu jika ke rumah kami, Tom akan disajikan dengan sisa-sisa makanan kami. Ada kalanya tiada makanan yang sesuai untuk diberi. Lalu kami membeli makanan kucing di kedai runcit dan kemudiannya di pasaraya sebagai makanan jika Tom datang berkunjung. Hubungan kami dan Tom semakin hari semakin mesra. Jika kami keluar dan pulang ke rumah, Tom akan berlari-lari sekuat hati jika ternampak kereta kami. Seronok melihat Tom berlari-lari mengejar kereta kami. Setelah pintu pagar di buka, Tom akan berbaring di porch dengan manja. Keadaan ini berterusan hingga beberapa bulan. Kami dan Tom Semakin mesra.


Hinggalah ke suatu hari pada awal Julai 2009. Tom kemalangan. Saya terlanggar Tom dengan kereta. Waktu itu kaki saya patah. Agak sukar untuk mengendalikan kereta dengan keadaan sedemikian. Bila melihat kereta Tom akan berbaring di hadapan (di porch). Entah kenapa hari itu Tom tidak lari dari Porch seeprti hari hari lain. Baca kisah selanjutnya di sini  http://azemiali.blogspot.com/2009/07/tom.html



 
 

Tom dan anak-anaknya sudah mati. Mereka pergi dengan mengejut. Tommy mati pada 24 Nov 2009.Tom pada pagi 25 Nov 2009. Kedua-duanya bersemadi di Kajang. Timmy dan Tikki pula kami sempat bawa berjumpa doktor dan membawa pulang ke Terengganu. Namun Tikki bersemadi di perhentian Gambang pada petang 25 Nov 2009. Timmy pula yang terakhir mati pada pagi 26 Nov 2009.

Terfikir pula, adakah kucing-kucing ini diracuni. Lebih lebih lagi ada dua lagi ekor kucing mati di dua rumah jiran. Jiran-jiran juga mengatakan kemungkinan mereka diracuni. Misteri ini terjawab apabila Doktor Fethri memaklumkan ada virus yang menyerang dan menyebabkan kematian kucing secara tiba-tiba dalam waktu yang singkat. Doktor itu menyatakan tiada vaksin untuk virus ini.

Pertemuan singkat dengan Tom dan anak-anaknya banyak mengajar kami. Teringat Tom yang mengejutkan kami jam 4.30 pagi ketika ia sakit. Mengiau dengan perlahan namun cukup untuk mengejutkan kami. Mungkin mengejutkan kami agar bangun untuk Tahajud. Istimewanya kucing ini. Makhluk ciptaan Ilahi.

Bila matinya seekor kucing, maka episod hidupnya telah tamat. Berbeza dengan kematian seorang anak Adam. Perjalanan selepas kematian itu masih jauh....




Gambar bawah Timmy, Tommy dan Tikki.


Gadis kecil ini mengidap asma dan hobinya setiap hari ialah mendukung Tom dan anak-anaknya. Jika di google kaitan kucing dan asma, maka kucing akan dipersalahkan. Kucing kan haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW. Kenapa takut? Pasti ada kelebihan si kucing. Kaitan yang mengatakan kucing penyebab asma mungkin datang dari ilmu Yahudi. Ingin menjauhkan kucing dari umat Islam.

Alhamdulillah keadaan asma si kecil ini bertambah baik dengan kehadiran Tom.


Related Posts with Thumbnails